Thursday 27 March 2014

Bagaimana 'Menterbalikkan' Kursus Dalam Talian

Di peringkat pengajian tinggi, lazimnya pelajar diberi input tentang isi pelajaran melalui sesi kuliah bersemuka yang disampaikan pensyarah melalui syarahan. Di luar waktu bersemuka pula pelajar diberi tugasan yang biasanya memerlukan mereka mencari maklumat, berbincang dalam kumpulan, menyelesaikan masalah, dsbnya. Manakala konsep 'Flipped Learning' atau 'Flipped Classroom' (yang saya percaya kebanyakan kita sudah ada pengetahuan tentangnya) pula menggunakan pendekatan menterbalikkan bila dan bagaimana sesuatu aktivi PdP berlaku. Dengan lain perkataan, penggunaan Flipped Learning memberi peluang pelajar berbincang, bersoal jawab, menyelesaikan masalah semasa perjumpaan bersemuka manakala input yang biasanya disampaikan melalui syarahan bersemuka diperoleh pelajar daripada sumber dalam talian (sama ada dibangunkan pensyarah sendiri atau pihak lain). Model menterbalik ini (video selepas itu kelas) menjadi trend pada masa ini kerana pada dasarnya kita menginginkan PdP yang lebih bersifat berpusatkan pelajar di mana pelajar dijangka melibatkan diri secara lebih aktif dan membolehkan mereka mencapai hasil pembelajaran pada aras kognitif yang tinggi.

Sebenarnya bagi program PJJ, kita sudah menggunakan pendekatan menterbalik ini di mana pelajar PJJ mendapat kebanyakan input daripada modul yang dimuat naik ke dalam MyGuru3 dan pada sesi tutorial bersemuka, mereka diberi peluang berbincang dan bertanya soalan serta mungkin menyelesaikan masalah bersama tutor. Namun adakah cara yang kita laksanakan ini berkesan dari segi pencapaian hasil pembelajaran yang diingini (aspek kognitif, kemahiran dan afektif)? Saya percaya ada antara kita yang berasa sangsi tentang keberkesanan pelaksanaan PJJ yang kita ada sekarang. Terdapat juga pensyarah yang terus menolak cara PJJ dilaksanakan sekarang bagi kursus-kursus yang bersifat lebih teknikal antaranya seperti kejuruteraan, statistik, matematik dan sains. Pada pandangan mereka pembelajaran bersemuka sangat perlu dalam menyampaikan isi kandungan pelajaran seperti ini.

Mengikut Mia McMeekin kursus-kursus dalam talian seperti apa yang kita ada sekarang juga boleh diterbalikkan pula untuk memberi kesan pembelajaran bersemuka. Klik pada link http://www.edudemic.com/how-to-flip-your-online-classroom/ untuk melihat beberapa cadangan beliau. Jika dianalisis, semua cadangan itu memerlukan pensyarah e-learning berinteraksi aktif dalam talian di samping menyediakan modul yang bersifat interaktif (contohnya ada video interaktif berbanding hanya modul teks sahaja). Maka terpulanglah kepada pensyarah masing-masing untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran dalam talian yang berasa seperti pembelajaran bersemuka tetapi pada masa yang sama membolehkan pelajar bergerak mengikut kebolehan mereka sendiri.   

No comments:

Post a Comment