Di
peringkat pengajian tinggi, lazimnya pelajar diberi input tentang isi
pelajaran melalui sesi kuliah bersemuka yang disampaikan pensyarah
melalui syarahan. Di luar waktu bersemuka pula pelajar diberi tugasan
yang biasanya memerlukan mereka mencari maklumat, berbincang dalam
kumpulan, menyelesaikan masalah, dsbnya. Manakala konsep 'Flipped
Learning' atau 'Flipped Classroom' (yang saya percaya kebanyakan kita
sudah ada pengetahuan tentangnya) pula menggunakan pendekatan
menterbalikkan bila dan bagaimana sesuatu aktivi PdP berlaku. Dengan
lain perkataan, penggunaan Flipped Learning memberi peluang pelajar
berbincang, bersoal jawab, menyelesaikan masalah semasa perjumpaan
bersemuka manakala input yang biasanya disampaikan melalui syarahan
bersemuka diperoleh pelajar daripada sumber dalam talian (sama ada
dibangunkan pensyarah sendiri atau pihak lain). Model menterbalik ini
(video selepas itu kelas) menjadi trend pada masa ini kerana pada
dasarnya kita menginginkan PdP yang lebih bersifat berpusatkan pelajar
di mana pelajar dijangka melibatkan diri secara lebih aktif dan
membolehkan mereka mencapai hasil pembelajaran pada aras kognitif yang
tinggi.
Sebenarnya bagi program PJJ, kita sudah menggunakan pendekatan
menterbalik ini di mana pelajar PJJ mendapat kebanyakan input daripada
modul yang dimuat naik ke dalam MyGuru3 dan pada sesi tutorial
bersemuka, mereka diberi peluang berbincang dan bertanya soalan serta
mungkin menyelesaikan masalah bersama tutor. Namun adakah cara yang kita
laksanakan ini berkesan dari segi pencapaian hasil pembelajaran yang
diingini (aspek kognitif, kemahiran dan afektif)? Saya percaya ada
antara kita yang berasa sangsi tentang keberkesanan pelaksanaan PJJ yang
kita ada sekarang. Terdapat juga pensyarah yang terus menolak cara PJJ
dilaksanakan sekarang bagi kursus-kursus yang bersifat lebih teknikal
antaranya seperti kejuruteraan, statistik, matematik dan sains. Pada
pandangan mereka pembelajaran bersemuka sangat perlu dalam menyampaikan
isi kandungan pelajaran seperti ini.
Mengikut
Mia McMeekin kursus-kursus dalam talian seperti apa yang kita ada
sekarang juga boleh diterbalikkan pula untuk memberi kesan pembelajaran
bersemuka. Klik pada link http://www.edudemic.com/how-to-flip-your-online-classroom/
untuk melihat beberapa cadangan beliau. Jika dianalisis, semua cadangan
itu memerlukan pensyarah e-learning berinteraksi aktif dalam talian di
samping menyediakan modul yang bersifat interaktif (contohnya ada video
interaktif berbanding hanya modul teks sahaja). Maka terpulanglah kepada
pensyarah masing-masing untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran
dalam talian yang berasa seperti pembelajaran bersemuka tetapi pada masa
yang sama membolehkan pelajar bergerak mengikut kebolehan mereka
sendiri.